Jumaat, 5 November 2010

INDAHNYA SYURGA DAN GERUNNYA NERAKA

kita seharusnya mempercayai kewujudan perkara-perkara ghaib, salah satunya adalah syurga dan neraka. Mempercayai wujudnya syurga dan neraka iaitu membenarkan dengan pasti akan kewujudan keduanya, serta ia tidak akan musnah atau binasa. Dimasukkan segala nikmat ke dalam syurga dan segala bentuk penyeksaan ke dalam neraka.
Kita wajib mempercayai bahwa Syurga dan Neraka telah tercipta dan keduanya saat ini telah disiapkan oleh Allah s.w.t.. Sebagaimana firman Allah s.w.t. mengenai Syurga maksudnya : “..yang telah disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa” (Surah Ali Imran ayat 133), dan mengenai Neraka maksudnya : “..yang telah disediakan untuk orang-orang yang kafir.” (Surah Ali Imran ayat 131).


Allah s.w.t. telah menggambarkan kenikmatan Syurga melalui berbagai macam cara. Kadangkala Allah s.w.t ingin menguji manusia untuk berfikir melalui firman-Nya dalam hadis qudsi yang bermaksud : “Ku siapkan bagi hamba-hambaKu yang soleh (di dalam Syurga), iaitu apa yang tak pernah dilihat mata, tak pernah didengar telinga, dan tak pernah terlintas dalam hati semua manusia”, kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Bacalah jika kalian mau, ‘Tak seorangpun mengetahui berbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang’ (Surah As-Sajdah : 17)”.


Kenikmatan Syurga juga Allah s.w.t. gambarkan dengan menyebut manusia yang berhasil memasuki Syurga dan selamat dari adzab Neraka, sebagai orang yang beroleh kemenangan yang besar. Sebagaimana Allah s.w.t maksudnya : “Barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah memasukkannya kedalam Syurga yang mengalir didalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar” (Surah An-Nisaa’ ayat 13)


Syurga juga disebut dengan pelbagai nama seperti Al-Jannah, Darus Salam, Darul khuld, Jannatul Na'im dan Al-Firdaus serta pelbagai lagi. Syurga juga memiliki pintu-pintu.  Dalam sebuah hadis dari shahabat Sahl bin Sa’ad radhiyallaahu anhu dari Rasulullah s.a.w. : “Di dalam Syurga terdapat delapan pintu, diantaranya adalah Ar Rayyan. Tidak ada yang memasukinya kecuali orang-orang yang berpuasa”.


Syurga juga mempunyai beberapa tingkatan. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Syurga terdiri atas seratus tingkat, jarak antara dua tingkatnya seperti jarak antara langit dan bumi, Allah menyediakannya untuk orang-orang yang berjihad di jalan-Nya”. Tingkatan yang paling tinggi adalah Firdaus.


Dalam syurga juga mempunyai bangunan-bangunan. Dari Abu Musa Al Asy’ari dari Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : “Sesungguhnya bagi orang-orang Mukmin di dalam Syurga disediakan kemah yang terbuat dari mutiara yang besar dan berlubang, panjangnya 60 batu, di dalamnya tinggal keluarganya, di sekelilingnya tinggal pula orang Mukmin lainnya namun mereka tidak saling melihat satu sama lain.”


Penghuni syurga juga akan disediakan dengan pelbagai jenis makanan. Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Dan buah-buahan dari apa yang mereka pilih, dan daging burung dari apa yang mereka inginkan.” (Surah Al Waqi’ah ayat 20-21).
Dalam syurga juga terdapat minuman untuk penghuni syurga. “Sesungguhnya orang-orang yang berbuat kebajikan minum dari piala (berisi minuman) yang campurannya adalah air kafur, (iaitu) mata air (dalam Syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya” (Surah Al Insan ayat 5-6).


Khamis, 4 November 2010

INILAH KEHIDUPAN

hidup ini
membawa seribu erti bagi yang ingin mengerti
erti kehidupan dalam satu perjuangan
perjuangan yang tiada penghujungnya


aku dengan haluan hidupku
kau dengan jalan hidupmu
apakah itu berbeza?
adakah tujuan kita tidak sama?


mungkin sepi hati ini terjadi lagi
mungkin sampai mati aku sepi
kesepian ini mengajar erti
mengajar segala ketentuan yang tidak pasti


Inilah hidupku,inilah ungkapan terbaik buat diriku yang masih mencari apakah itu yang bernama kehidupan. Kehidupan setiap orang berbeza-beza serta matlamat hidup dan arah tujuan hidup yang dilalui berbeza. Namun di setiap perbezaan yang ada, mungkin akan timbul persamaan yang mungkin belum disedari.

Khamis, 16 September 2010

3 JENIS HATI BENTUK PERIBADI MANUSIA





Perkembangan jiwa dan watak manusia mempunyai hubungan rapat dengan kedudukan dan bentuk hati (qalbu) yang dimilikinya. Secara umumnya hati atau jiwa manusia itu memiliki sifat hidup dan mati.


Bagi hati yang suci dan hidup (qalbun sahih) maka ia akan membawa tuannya ke jalan selamat di mana kemurniaan ubudiyahnya meletakkan seluruh aktiviti kehidupan hanya untuk Allah SWT.


Bagi hati yang keji dan mati (qalbun Mayyit) pula akan membawa tuannya ke arah kebinasaan dengan menjerumuskannya ke dalam tuntutan nafsu syahwat yang penuh kejahilan sehingga lupa menyembah Allah SWT selaku khaliqnya.


Di antara kedua-dua jenis hati itu, ada pula hati Qalbun Maridh (hati yang sakit) yang masih lagi memiliki nur keimanan tetapi berada dalam keadaan yang samar kerana tidak berupaya berhadapan dengan desakan hawa nafsu.


Dalam penelitian kaum sufi, qalbu disebut sebagai nurani kerana ia memiliki kesedaran antara baik dan buruk. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang yang kami pilih dari kalangan hamba kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antara mereka ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului orang lain dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itulah limpah kurnia yang besar dari Allah semata-mata” (surah Fathir: 32).


Berdasarkan ayat ini Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah membahagikan manusia kepada tiga darjat kedudukan :


* Golongan Zhalimun Linafsih - iaitu golongan yang sentiasa menzalimi dan menganiaya dirinya. Mereka adalah golongan yang derhaka kepada Allah SWT, meninggalkan perintah (suruhan dan larangan) serta mengerjakan kejahatan (kemungkaran).


* Golongan Mukhtasid - iaitu golongan manusia darjatnya pertengahan dengan sifatnya cermat, berhati-hati dengan melaksanakan kewajipan dan menjauhi laranganNya.


* Golongan Sabiqun Bil-Khairat - iaitu golongan yang sentiasa aktif dan proaktif dalam melakukan dan mengerjakan kebaikan. Golongan ini tinggi kerohaniannya di mana mereka tidak hanya menunaikan kewajipan, sebaliknya melakukan amalan sunat, tetap istiqamah melaksanakan perintah (suruhan dan larangan) serta meninggalkan perkara yang syubhat dalam kehidupannya.


Sayid Sabiq pula telah membahagikan kekuatan kerohanian manusia kepada tiga tingkat :


1) Nafsu amarah iaitu tingkat nafsu insan paling rendah dan hina yang hanya mengutamakan desakan atau dorongan hawa nafsu semata-mata serta godaan syaitan.


2) Nafsu Lawwammah iaitu nafsu yang dapat mengawal amal salih serta gemar menegur atau mengkritik diri apabila terjerumus ke dalam lembah kemungkaran.


3) Nafsu Mutmainnah iaitu tingkat kerohanian insan paling tinggi dan luhur. Ini adalah jiwa yang tenang lagi suci dalam keadaan kekal melakukan kebaikan amal salih.


Menurut Iman al-Ghazali, proses penyucian diri (tazkiah al-nafs) untuk mencapai tahap nafsu yang diredai seperti tahap nafsu di atas dapat diperoleh melalui jalan ilmu dan beramal. Tazkiyyah al-nafs mengandungi dua keadaan iaitu membebas (mengosongkan) diri dari sebarang sifat mazmumah (keji) dan mengisi (menghiasi) jiwa dengan sifat mahmudah (mulia).


Ilmu tasawuf berkaitan dengannya. Dalam pengertian ilmu, tasawuf bermaksud mensucikan qalbu dan menjernihkan roh agar dapat merasai limpahan cahaya ilahi. Amalan tasawuf dibangunkan di atas latihan kerohanian (riyadhat ruhiyyah). Pengamalan dan penghayatan tasawuf adalah bermatlamatkan ibadat dan zuhud semata-mata.


Sesungguhnya kesejahteraan, kedamaian dan kebaikan jiwa insan mukmin itu bergantung kepada tazkiyyah al-nafs. Nafsu pada hakikatnya adalah penggerak tingkah laku yang cenderung kepada sama ada kebaikan atau kejahatan. Allah mengilhamkan kepada jiwa insan itu dua ilham - ilham berbentuk fujur iaitu jalan yang membawa insan ke arah kesejahteraan dan ilham berbentuk takwa iaitu jalan yang membawa manusia ke arah kebaikan dan amal soleh.


Dua bentuk jalan ini terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa.Sesungguhnya berjayalah orang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat “ jiwanya” (surah Asy-Syams: 7-10).


Sifat qalbu (hati/jiwa) sering berbolak-balik dan sering berperang antara nafi dan isbat. Dalam ayat 1, surah Alam Nasyrah digunakan kata `sadr’ yang bererti “dada” untuk menggambarkan suasana hati (jiwa). Keadaan ini menjelaskan bahawa hati manusia itu bersifat tidak konsisten atau berbolak-balik.


“Perang batin” ini tidak akan berkesudahan selagi ia tidak mencapai kepada keyaqinan (aqidah/keimanan) yang teguh. “Perang batin” ini dapat dirasai ketika manusia ingin melakukan ibadat seperti solat, puasa, berzakat, berjihad dan sebagainya. Untuk mencapai keyaqinan maka jihad melawan hawa nafsu perlu dilaksanakan oleh manusia dan inilah yang sering disebut sebagai “jihad besar”.


Jihad melawan hawa nafsu inilah yang menjadi manhaj (jalan) mengenal Allah SWT. Qalbu (hati) perlu dijaga kerana pengaruhnya terhadap diri dan kehidupan bermasyarakat (bernegara) amat jelas; jika baik hati individu itu maka baiklah amalannya, sebaliknya jika kotor jiwa individu itu maka buruklah amalannya.


Sebuah hadis nabi bermaksud, “Ketahuilah bahawa dalam jasad itu ada seketul darah (daging), apabila ia bersih, maka akan bersihlah tubuh badan semuanya dan apabila ia rosak (keji) maka akan rosaklah seluruh tubuh itu, Ketahuilah itulah hati” (Muttafaqun `Alaih).


Dalam masyarakat Melayu sering kita mendengar kata-kata seperti ‘Hati Iblis’, ‘Hati Yahudi’,’Hati Malaikat’ dan seumpamanya. Semua bentuk gelaran hati ini melambangkan keperibadian pemiliknya. Hati yang kotor (keji) boleh menjadi hijab kepada ‘Nur Ilahi’.


Qalbu (hati) terang bercahaya menjadi nur (pelita/cahaya) kepada manusia menempuh jalan baik dan haq. Al-Quran itu sendiri diturunkan menjadi huda lil muttaqin (petunjuk kepada hati yang bertakwa).


Justeru, hati mesti dibersihkan melalui jalan tarbiyyah rabbani ke dalam jiwa mukmin yang mampu dilakukan melalui amal ibadat yang dicontohkan oleh nabi dan sahabatnya serta para tabiin.


Al-Quran menegaskan, “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Tuhan semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan jangan engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran” (Surah al-Kahfi: 28).


Hawa adalah kecenderungan nafsu kepada syahwat. Ia adalah ciri tingkah laku negatif yang merosakkan kehidupan manusia. Ia menyukai, menyenangi dan merindui terhadap perkara
yang dihajati atau dikehendakinya oleh syahwah.


Syahwah adalah kalimat dalam al-Quran yang menggambarkan keinginan insan terhadap keseronokan, kelazatan dan kesenangan (surah Maryam: 4). Ia juga bermaksud fikiran tertentu yang cenderung ke arah melakukan kejahatan dan penyelewengan ( An-Nisaa: 27) dan syahwah juga bermaksud perilaku terhadap seks ( An-Naml: 55).


Untuk mencapai kebahagiaan, kedamaian dan ketenangan hati maka manusia perlulah mengikis penyakit hati yang bersarang di jiwanya.


Dari : Mohd Ayop Abd Razid

Rabu, 15 September 2010

KEIMANAN YANG SEBENAR


Beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala bererti seseorang Muslim itu mempelajari, memahami dan mempercayai dengan penuh yakin akan sesuatu yang wajib bagi Allah Subhanahuwata’ala dari segala sifat-sifat kesempurnaanNya, dan sesuatu yang mustahil bagiNya dari semua yang berlawanan dengan sifat-sifat wajib itu. Begitu juga, yakin dengan sifat-sifat yang harus bagi Allah Subhanahuwata’ala. Dengan lain perkataan, secara umumnya, seseorang Muslim wajib beri’tiqad bahawa segala sifat kesempurnaan itu adalah hak Allah Subhanahuwata’ala semata-mata, samada sifat-sifat itu yang berbentuk Uluhiyyah atau pun Rububiyyah. Begitu juga sebaliknya, segala sesuatu yang tidak sempurna tidak layak diletakkan kepada Zat Yang Maha Kudus itu.


Beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala juga bermaksud seseorang Muslim wajib beri’tiqad bahawa di sebalik alam kebendaan yang nyata ini, sudah wujud suatu Zat yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera lahiriah manusia. Pada Zat itu terkumpul segala kekuasaan mutlak. PadaNya sahaja ada sifat-sifat Maha Kuasa, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Pentadbir. Zat itu adalah punca kejadian segala makhluk dan segala yang akan berlaku ke atasnya. Zat itu punca hidayah, nur dan al-Haq bagi manusia sejagat.


Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Tiada Tuhan melainkan Dia, Yang menghidupkan dan yang mematikan. (Dialah) Tuhanmu dan Tuhan bapak-bapakmu yang terdahulu.”



Surah ad-Dukhan: ayat 8.


Itulah Zat yang Qudus, Agung lagi amat Unik yang kita beriman kepadaNya dengan sepenuh keimanan. Keimanan yang tercerna ke dalam amalan-amalan hati dan amalan-amalan lahir yang iltizam dan intizam kepada Islam dalam kehidupan yang menyeluruh.
Beriman dengan kewujudan Allah Subhanahuwata’ala dan keesaan-Nya, dapat dijelaskan lagi hati yang yakin bahawa kejadian bagi semua makhluk di alam ini adalah di bawah kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala yang mutlak. Allah Subhanahuwata’ala terhindar daripada sebarang bentuk pengkongsian atau pensyarikatan dalam keesaan, keagungan dan kekuasaan-Nya. Allah Subhanahuwata’ala tersisih sama sekali daripada keserupaan dengan makhluk-makhlukNya dalam zat dan sifatNya.



Segala bentuk pengabdian, pemujaan, pengembalian, perlindungan dan kepatuhan hanya sanya kepada Allah sahaja. Tiada pencipta dan pentadbir selain daripada-Nya. Justeru itu, bersyahadah dengan kalimah tauhid mencerminkan kesempurnaan tuntutan ‘aqidah yang meliputi ciri-ciri Rububiyyah dan Uluhiyyah.


Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Katakanlah: Dialah Allah Yang maha Esa. Allah adalah tempat pergantungan bagi segala sesuatu. Ia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak seseorang pun yang setara dengan-Dia.”



Surah al-Ikhlas: ayat 1-4.


“Tuhan yang memelihara langit dan bumi dan apa yang terdapat di antara keduanya, jika kamu adalah orang-orang yang meyakini. Tiada Tuhan melainkan Dia, yang menghidupkan dan mematikan. (Dialah) Tuhanmu, Tuhan bapa-bapa kamu terdahulu.”
-Surah ad-Dukhan: ayat 7-8.


Beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala Yang Tunggal juga bererti kita hanya bergantung kepada Allah Subhanahuwata’ala. Ketunggalan Allah meliputi hakNya memiliki sifat-sifat Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Kuat. Ketunggalan Allah Subhanahuwata’ala juga meliputi kemampuanNya memberikan rahmat dan nikmat, atau sebaliknya. Alam dan segala makhluk di dalamnya yang begitu tersusun dan terpelihara semata-mata bergantung serta patuh kepada kekuasaan-nya Yang Maha Tunggal.
Lebih jauh dari itu, alam semesta ciptaan Allah yang rapi dan halus susunannya adalah rahmat Allah kepada semua makhluk terutama insan. Dengan ini, keyakinan dan kepatuhan kepada syari’at Allah Subhanahuwata’ala adalah wajib setelah meyakini wujudnya Allah Subhanahuwata’ala yang tunggal dan berkuasa mutlak. Atau dengan kata lain, kesempurnaan keimanan kita kepada Allah Subhanahuwata’ala adalah kesempurnaan penghayatan syari’at Allah Subhanahuwata’ala dalam kehidupan yang menyeluruh.



Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Sesunggunya orang-orang yang menyatakan: Tuhan kami ialah Allah. Kemudian mereka tetap istiqamah maka tiada ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka pula tidak berdukacita.”



-Surah al-Ahqaf: ayat 13.


Islam menuntut setiap penganutnya supaya beriman dengan penuh kefahaman dan keyakinan. Keimanan yang berfungsi. Kewujudan sesuatu dan semua bentuk kebaikan mestilah tunduk kepada ketentuan Allah Subhanahuwata’ala sahaja. Tiada perhambaan melainkan kepada Allah Subhanahuwata’ala jua. Tiada sebarang perantaraan di dalam semua hal di antara Allah Subhanahuwata’ala dan hamba-hamba-Nya.


Tasawwur keimanan yang benar tidak hanya terbatas dalam skop pengajian sifat dua puluh dan masalah-masalahnya sahaja. Malah skopnya meliputi perkembangan kehidupan itu sendiri. Amat tepat bahawa beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala sebagai rukun Iman pertama membataskan seluruh pengabdian manusia berada dalam rangkaian dua kalimah syahadah. Keimanan yang istiqamah akan mampu membawa manusia hidup dengan jaya dan menemui Allah Subhanahuwata’ala dengan rasa puas, senang dan tenang.


Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Sesungguhnya orang yang mengatakan bahawa: Tuham kami adalah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah maka tiada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka pula tidak berdukacita. Mereka itulah penghuni-penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya, sebagai balasan atas apa yang mereka telah kerjakan.”



-Surah al-Ahqaf: ayat 13-14.


“Siapakah yang lebih baik perkataanya daripada mereka yang menyeru ke jalan Allah dan beramal saleh dan berkata: Sesungguhnya aku adalah terdiri daripada Muslimin.”
-Surah Fushilat: ayat 33.


“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan mereka: “Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?” Tentulah mereka akan menjawab: “Allah”, maka betapalah mereka (dapat) dipalingkan (daripada jalan yang benar). Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia pula yang menyempitkan baginya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka; “Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”, Katakanlah: “Segala pujian bagi Allah,” tetapi kebanyakkan mereka tidak mengetahuinya.”
-Surah al-Ankabut: ayat 61-63.




Setiap hati yang beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala hendaklah tetap yakin segala tindakan dalam hidupnya mestilah berdiri di atas aqidah ini. Semua ciri keimanan samada yang pokok, cabang mahu pun ranting tidak boleh bangun tegak tanpa berdiri di atas asas aqidah. Begitu juga, semua unsur Islam yang berupa pokok, cabang, ranting dan sebagainya tidak boleh diterima sebagai Islam kiranya tidak dibangunkan atau didirikan di atas tapak ‘aqidah dan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Beriman kepada malaikat-malaikat Allah Subhanahuwata’ala, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-nya, hari akhirat dan qadar baik serta buruk-Nya akan gugur dengan sendirinya tanpa wujud keimanan yang jelas kepada Allah Subhanahuwata’ala terlebih dahulu, meski pun perkara-perkara tersebut dikira sebagai rukun-rukun iman juga.


Ibadah-ibadah khusus, seperti solah, zakah, puasa dan haji, amalan-amalan yang halal dan haram, semua bentuk muamalah dan keseluruhan ibadah umum dengan sendirinya akan terbatal andainya semua itu tidak didasarkan kepada keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala.


Hanya hati yang bercahaya, fikiran yang dibimbing oleh hidayah, perasaan yang terbentuk dengan nur Allah Subhanahuwata’ala dan nafsu yang terdidik, yang akan sujud kepada Allah Subhanahuwata’ala sepenuhnya. Perkara-perkara sebegini telah benar-benar berlaku dalam masyarakat Islam pertama yang dikenali sebagai generasi al-Quran yang unik. Kehidupan generasi ini bangun di atas qaedah yang jelas. Asas keimanan dan tauhid yang masuk ke dalam lubuk hati mereka menguasai kehidupan.


Inilah sahaja satu asas atau qaedah bagi umat Islam untuk hidup. Tiada kehidupan Islam tanpa ditegakkan di atas keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala terlebih dahulu. Begitu juga, tiada kehidupan Islam jika dibangunkan di atas qaedah yang lain. Juga, tiada kehidupan Islam sekiranya sebahagian sahaja daripada kehidupan itu ditegakkan atas asas aqidah Islamiyyah sedangkan sebahagian yang lain pula ditegakkan atas aqidah yang bukan Islam.


Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Kamu tidak menyembah yang selain Allah, kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyang kamu membuat-buatnya. Allah tidak menurun sesuatu keteranganpun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah keputusan Allah. Dia telah memrintahkan kamu agar tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”



-Surah Yusuf: ayat 40.




Rujukan: Buku Risalah Ta’rif

Selasa, 14 September 2010

IMAN & ISLAM

Apa Itu Islam?
Islam dari segi bahasa ialah tunduk dan menyerah kepada Allah Taala. Dari segi syarak pula ialah agama yang dibina di atas lima asas (Rukun Islam) iaitu:
  • (penyaksian) bahawa tiada tuhan melainkan Allah Taala dan bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W. itu utusan Allah Taala (Rasulullah S.A.W.).
  • Mendirikan solat fardhu lima kali sehari di dalam waktunya dengan rukun dan syarat yang sempurna.
  • Mengeluarkan zakat setelah cukup kadar dan waktunya.
  • Berpuasa di bulan Ramadhan.
  • Menunaikan haji sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Islam dibina di atas lima perkara: Penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa bulan Ramadhan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Apa Itu Iman?

Iman dari segi bahasa ialah membenarkan. Dari segi syarak pula ialah membenarkan dengan keyakinan yang tidak terbelah bagi (Rukun Iman) kepada:
  • Allah Taala yang Maha Esa dan Maha Pencipta serta tiada sekutu bagiNya.
  • Malaikat yang merupakan hamba-hambaNya yang mulia dan sentiasa taat kepada suruhan Allah Taala.
  • Kitab yang diturunkan oleh Allah Taala sebagai syariat kepada manusia.
  • Rasul yang telah dipilih dan diutuskan olehNya kepada manusia untuk memberi petunjuk.
  • Hari Kiamat yang pasti berlaku untuk menghitung segala amalan manusia.
  • Qada dan Qadar yang berlaku samada baik atau buruk semuanya adalah ketentuan dariNya. Setiap perkara yang berlaku terdapat hikmah yang tersembunyi. Namun kita tetap dikehendaki untuk berusaha bagi memperolehi kebaikkan dan kejayaan.

Firman Allah Taala bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah Taala dan rasulNya dan kepada kitab al-Quran yang telah diturunkan kepada rasulNya (Nabi Muhammad S.A.W.) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya dan juga Hari akhirat maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.
(Surah an-Nisaa: Ayat 136).

Apakah Persamaan Dan Perbezaan Di Antara Islam Dan Iman?

Dari perbincangan di atas maka dapatlah kita ketahui bahawa Islam dan Iman adalah dua hakikat yang berbeza dari sudut bahasa dan syarak. Oleh itu, apabila disebut salah satu daripadanya itu maka ia juga memberi makna kepada yang satu lagi. Iman tidak dikira tanpa Islam sepertimana Islam juga tidak dikira tanpa iman kerana kedua-duanya saling memerlukan. Jadi mestilah beriman dengan hati serta beramal dengan anggota tubuh badan. Namun jika ia disebut kedua-duanya sekaligus dalam satu ayat yang sama maka masing-masing mempunyai makna yang berbeza untuk diperjelaskan.
Bagaimanakah Iman Yang Sempurna?
Keimanan yang sempurna mestilah membenarkan (meyakini) dengan hati, mengakui dengan lidah dan beramal dengan perbuatan. Inilah ciri-ciri serta syarat-syarat untuk mendapat kesempurnaan iman itu. Namun kesempurnaan iman tidaklah hanya terletak pada Rukun Iman sahaja bahkan ia lebih luas untuk diperbincangkan di sini.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasih untuk dirinya sendiri.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pada al-Hadis S.A.W. di atas menerangkan kepada kita bahawa iman tidak bertunjang di dalam diri sendiri semata-mata serta tidak teguh di dalam hati dan tidak sempurna di dalam dada seseorang Islam kecuali apabila dia menjadi manusia yang baik, jauh daripada sifat keakuan, iri hati, membenci dan hasad dengki. Dengan itu dia akan mengasihi dan membantu orang lain dengan apa yang dia suka untuk dirinya sendiri seperti selamat daripada kejahatan dan seksaan, seronok dengan kesenangan hidup, berjaya mendapat keredhaan Allah Taala serta mendekatkan diri kepadaNya.
Seorang sahabat Nabi S.A.W. bernama Muaz R.A. telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W. tentang iman yang paling afdhal (baik) maka baginda S.A.W. menjawab:
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Engkau mengasihi untuk manusia sesuatu yang engkau suka untuk dirimu sendiri dan engkau membenci untuk mereka sesuatu yang engkau benci untuk dirimu sendiri.
(Riwayat Ahmad).

Apakah Matlamat Ibadat?

Ibadat yang dikehendaki di dalam Islam bukanlah gambaran dan bentuknya yang boleh dilihat dengan pandangan semata-mata akan tetapi yang dikehendaki oleh Islam dengan ibadat ialah tujuan serta makna dan pelaksanaan sesuatu ibadat itu. Oleh itu, tiada manfaat solat yang tidak dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar sebagaimana tiada faedah juga puasa yang pelakunya tidak dapat meninggalkan kebatilan. Walaubagaimanapun tidaklah beerti kita boleh meninggalkan ibadat jika tidak mencapai hasilnya akan tetapi yang dikehendaki di sini ialah sentiasa berusaha membawa diri supaya ikhlas dan cuba mencapai segala tujuannya. Kesimpulannya: Kita memahami bahawa Islam itu adalah terdiri daripada aqidah dan amalan. Maka tiada manfaat serta faedah tanpa iman sebagaimana tidak wujud iman tanpa amalan.

Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.
(Surah ali-Imran: Ayat 19).