Khamis, 24 November 2011

APA YANG MEMULIAKAN KITA DISISI ALLAH S.W.T



Disini ada 7 kalimah yang akan memuliakan kita disisi Allah S.W.T. insyaallah :




  1. Bismillah - membaca disetiap kali memulakan sesuatu.
  2. Alhamdulillah - ketika selesai melakukan sesuatu.
  3. Astaghfirullah - jika terlanjur perkataan atau perbuatan
  4. InsyaAllah - jika ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang.
  5. La Haula Wala Quwwata Illa Billah Hillaliyyil Azim - pabila menghadapi sesuatu kesukaran.
  6. Inna Lillahi Wainna Ilaihi Rajiun - ketika ditimpa musibah.
  7. La Illaha Illallah - lafaz zikir siang dan malam.

Kalau ingin mengenal dimana kedudukan kita disisi Allah, lihatlah dimana kita meletakkan Allah di dalam diri kita...


wallahualam...

Isnin, 16 Mei 2011

JANGAN BERPUTUS ASA...




Rabbiii...
Lembutkanlah hati-hati ini yang terlalu beku dan kaku untuk mentafakuri keagunganMu Ya Allah,,,

Rabbiii...
Lepaskanlah hati-hati ini dari segala belenggu - belenggu yang menghalangi hamba untk lebih mengenal-Mu Ya Allah...
Dekatkanlah hati ini melangkah lebih dekat lagi kepada-Mu dengan segala ketulusan dan keikhlasan Ya Allah...

Rabbiii...
Adakah tempat yang lebih pantas hamba bersandar,,kecuali kepada-MU Ya Allah,,,
Adakah dermaga yang lebih luas untuk hamba-Mu ini melabuhkan segala bentuk cinta yang bergejolak di hati ini Ya Allah kecuali dermaga-Mu Ya Allah...

Rabbiii...
Kurniakanlah hati ini rasa tenang dan nyaman, rasa indah dan lazat kerana terikat oleh tali-tali Mu Ya Allah...

Rabbiiii...
Akankah hati ini terhanyut dan terkagum ketika kalimat-kalimat Mu dikumandangkan ...

Rabbiii..
Alangkah masih kecilnya energi-energi fitrah-Mu yang telah hamba pancarkan...

Rabbiii...
Bukakanlah pintu-pintu taubat Mu agar tetap terbuka lebar...

Rabbiii...
Ampunkanlah dosa-dosa dan kehilafan-kekhilafan hamba Mu ini
Amin....


.....moga dengan ini, hati hambamu terus tidak berputus asa dengan nikmat dan keagungan-Mu Ya Allah....

Khamis, 28 April 2011

ADA APA DENGAN SURAH AL-MULK???

Assalamualaikum, kali ini IMI ingin berkongsi sedikit pengetahuan mengenai surah Al-Mulk. Ada apa sebenarnya dengan surah ini. Surah Al-Mulk ialah surah keamanan dan keselamatan. InsyaAllah, jika diamalkan selalu, ia dapat menyelamatkan pembacanya daripada siksaan azab kubur. 
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur."

Ada satu kisah yang pernah berlaku yang mengaitkan surah Al-Mulk ini, pernah suatu ketika para sahabat berkhemah di atas kubur. Mereka sebenarnya tidak menyangka tempat itu adalah kubur. Setelah beberapa ketika berada di dalam khemah, mereka tiba-tiba terdengar suara orang membaca Surah Al Mulk dari mula hinggalah akhirnya. Suara itu datangnya dari dalam tanah. Tahulah mereka, sebenarnya mereka sedang berkhemah di atas kubur. Kemudian hal itu diadukan kepada Rasulullah S.A.W lalu baginda bersabda yang bermaksud: "Surah Al Mulk adalah surah pelepasan kerana ia menghindar pembacanya dari azab neraka".

Pelbagai lagi kelebihan surah ini yang terdapat dalam hadis, antaranya ialah:

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga."

Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya yang bermaksud: "Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun unutuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk." 

Surah ini elok diamalkan pada setiap malam sebelum kita hendak tidur.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur." 

Adakah kita semua tidak mahu menjadi seperti kata Saiydina 'ali, ohh..alangkah ruginya...
Saiyidina 'Ali berkata: "Barangsiapa mengamalkan surah Al Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti nabi Yusuf."

Kita seharusnya selalu mengamalkan surah Al-Mulk ini kerana:
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya."

Saiyidina 'Abdullah bin Abbas berkata: "Barangsiapa membaca surah Al Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke pihak kepala, terdengar satu seruan: "Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada surah Al Mulk."

Begitulah keadaanya bila azab itu pergi ke pihak kaki dan perutnya. Kerana semuanya mengandungi surah Al Mulk."
Alangkah indahnya jika kita selalu mengamalkan surah Al-Mulk ini, kerana padanya terdapat pelbagai manfaat. Oleh itu marilah kita mengamalkan surah ini dalam kehidupan seharian ini...











Jumaat, 31 Disember 2010

2011 BAKAL MENJELMA

Tahun 2011 masihi bakal menjelma, adakah kita telah persiapkan diri untuk menghadapinya dengan azam yang baru,serta memasang niat untuk berubah kepada yang lebih baik dan mentaati suruhan Allah dan mengikuti ajaran yang disampaikan oleh nabi kita iaitu Nabi Muhammad S.A.W, ataupun kita hanya masih ingin berada dalam keadaan yang sama pada tahun-tahun sebelumnya.




Kita seharusnya memuhasabah diri sebelum tahun baru masihi 2011 akan menjelma walaupun tahun hijrah telah berlalu, selalunya masyarakat zaman sekarang secara kalendernya lebih berminat dengan tahun masihi. Oleh itu, disini saya ingin mengambil inisiatif untuk memberi peringatan dan untuk berkongsi ilmu serta pengalaman. Sebelum tahun 2011 masihi menjelma, kita seharusnya memuhasabah diri agar diri kita kembali insaf daripada dosa-dosa yang telah kita lakukan dalam keadaan sedar mahupun tidak.


tanpa disedari usia diri kita telah lanjut
terasa begitu pantas masa berlalu
apakah sumbangan yang telah kita lakukan selama hayat kita?
sumbangan pada agama, diri, keluarga, masyarakat dan lain-lain...
antara amal dan dosa mana yang lebih banyak
astaghfirullah..
ya Allah ampunkanlah hambamu ini

ya Allah..
engkau tetapkanlah hati kami ini untuk istiqamah dengan amalan kebaikan
tetapkanlah hamba-mu ini di atas jalan juang menegakkan agama-mu
engkau berkatilah usia hamba-mu dengan keredhaaan dan maghfirah-mu
ya Allah...
bimbinglah kami menempuh cabaran kehidupan yang mendatang,
Sesungguhnya kami insan yg lemah, mudah tersasar dr pelayaran kehidupan,
engkau peliharalah kami dari terjerumus dalam lembah kehinaan 
kami ingin bertemu syahid  dalam menegakkan agama-mu

ya Allah,
engkau kurniakan kepada kami teman hidup yang soleh dan solehah
penyejuk mata dan penawar hati 
zuriat yang soleh dan solehah,yang bisa meneruskan perjuangan menegakkan agama-mu
mudah-mudahan dapat dijadikan bekalan apabila bertemu dengan-mu 
engkau rahmatilah kami, keluarga kami,sahabat-sahabat seperjuangan kami, dan alim ulama 
Semoga kami dapat bertemu di syurga-mu kelak…
 Amin....Ya Rabbal A'lamin...

 kita sebagai umat islam, sebagai penegak agama Allah, dan pengikut ajaran Nabi Muahammad S.A.W seharusnya berusaha untuk memdapatkan sebanyak mungkin amalan kita di dunia agar mampu membantu kita apabila kita telah mati kelak. Kita juga seharusnya selalu mengingatkan diri kita tentang kematian agar kita takut melakukan perkara mungkar dan kembali insaf untuk melakukan amal-amal soleh. Sebenarnya kita hanyalah makhluk yang lemah dan tidak ada perkara yang kita patut banggakan sangat.

Tuhan! Alangkah hina dan lemahnya hamba-Mu ini,
Langsung tidak ada kuasa dan kudrat,
Kuasa dan kudrat sepenuhnya adalah milik-Mu,
Jika di waktu aku duduk,
Aku boleh Engkau menjatuhkan,
Aku boleh Engkau matikan,
Dan aku boleh Engkau lalaikan,
Di waktu rehat-rehat,
Engkau boleh jadikan aku pening kepala dengan tiba-tiba,
Aku boleh jatuh,
Aku boleh tidak sedarkan diri bahkan boleh mati,
Di waktu sedang aku makan,
Engkau boleh tercekikkan aku,
Boleh aku tercekik tulang,
Boleh bila-bila masa sahaja di waktu itu aku tumbang,
Di waktu bercakap-cakap,
Engkau boleh buat apa sahaja denganku,
Engkau boleh lupakan aku tentang sesuatu yang hendak dicakapkan,
Boleh di waktu itu aku terbatuk-batuk,
Boleh rebah di waktu itu,
Di dalam masa tidur,
Engkau boleh tidurkan aku terus tidur,
Iaitu daripada mulanya aku tidur kecil terjadi tidur besar,
Atau bangkit-bangkit tidur terus sahaja mati,
Itu terpulanglah kepada Engkau,
Engkau boleh buat apa saja kepadaku,
Di mana aku berada, di waktu bila, di dalam keadaan apa; Macam-macam Engkau boleh jadikan aku...,


Manalah ada kuasa padaku,
sedikit pun tiada kudratku,
Kerana itulah nasibku seluruhnya aku serahkan kepada-Mu,
Kesihatanku, makan minumku, keselamatan aku, aku serahkan kepada-Mu,
Kerehatanku, kesenanganku dan kebahagiaanku;
Aku yakin Engkau tidak menzalimi hamba-hamba-Mu,
Kalau begitu, seluruh hidup matiku, Aku serahkan kepada-Mu,
Kerana aku langsung tidak ada kuasa apa-apa,
Terserahlah kepada-Mu Tuhan, Tapi aku baik sangka dengan-Mu


Setelah kita memuhasabah diri kita serta menyedari diri kita yang lemah ini, hendaklah kita insaf dan berasa takut dan gentar dengan azab Allah S.W.T. supaya kita lebih taat dan setia kepada Allah S.W.T dan Nabi Muhammad S.A.W.

Oleh itu, pada tahun 2011 masihi yang akan datang ini, hendaklah kita memasang niat untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah. Kita harus sedar bahawa dunia telah semakin uzur, kita harus menyiapkan diri untuk menghadapi hari Kiamat yang akan datang pada bila-bila masa tanpa diduga.

setakat itulah nukilan daripada ana setakat ini....assalamualaikum.




 

Selasa, 9 November 2010

UKHUWAH SESAMA MUSLIM

Sebahagian kaum muslimin bertanya:"Mengapa kita harus saling menyalahkan satu sama yang lainnya, bukankah kita masih sama-sama kaum muslimin yang bersaudara dan kita berkewajiban mempererat ukhuwah Islamiyah?".

Kita umat islam khasnya seharusnya berusaha untuk mempereratkan ukhuwah sesama kita, agar islam mampu mencapai tahap kegemilangannya seperti zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w dahulu, para sahabat serta para pemimpin islam terdahulu seperti Harun Ar-Rasyid dan sebagainya.


Jika kita bermusuhan sesama muslim, ini menyebabkan islam menjadi mundur dan tidak bersatu padu, serta seterusnya mampu membawa kepada kehancuran umat islam. Kita seharusnya menjaga pertalian saudara antara umat islam kerana bagi umat islam yang mempercayai adanya soalan di kubur dimana malaikat akan bertanya "siapakah saudara kamu?", bukankah kita dituntut untuk menjawab, "orang-orang islam adalah saudaraku". Begitu juga dengan firman Alllah iaitu "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." [Al-Hujurat (49:10].


Kita tidak mahu umat islam berpecah-belah seperti kisah anak Nabi Adam a.s iaitu Habil dan Qabil. Kisah ini bermula apabila Nabi Adam a.s telah diberi ilham dan petunjuk oleh Allah supaya kedua puteranya dikahwinkan dengan puterinya. Qabil dikahwinkan dengan adik Habil yang bernama Lubuda dan Habil dengan adik Qabil yang bernama Iqlima.
Cara yang telah di ilham oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Adam telah disampaikan kepada kedua puteranya sebagai keputusan si ayah yang harus dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk menjaga dan mengekalkan suasana damai dan tenang yang meliputi keluarga dan rumahtangga mereka. Akan tetapi dengan tanpa diduga dan disangka rancangan yang diputuskan itu ditolak mentah-mentah oleh Qabil dan menyatakan bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda, adik Habil dengan mengemukakan alasan bahawa Lubuda adalah buruk dan tidak secantik adiknya sendiri Iqlima. Ia berpendapat bahawa ia lebih patut mempersunting adiknya sendiri Iqlima sebagai isteri dan sekali-kali tidak rela menyerahkannya untuk dikahwinkan oleh Habil. Dan memang demikianlah kecantikan dan keelokan paras wanita selalu menjadi fitnah dan rebutan lelaki yang kadang-kadang menjurus kepada pertentangan dan permusuhan yang sampai mengakibatkan hilangnya nyawa dan timbulnya rasa dendam dan dengki di antara sesama keluarga dan sesama suku.


Kerana Qabil tetap berkeras kepala tidak mahu menerima keputusan ayahnya dan meminta supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya sendiri Iqlima maka Nabi Adam seraya menghindari penggunaan kekerasan atau paksaan yang dapat menimbulkan perpecahan di antara saudara serta mengganggu suasana damai yang meliputi keluarga beliau secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah perjodohan itu kepada Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa masing- masing dari Qabil dan Habil harus menyerahkan korban kepada Tuhan dengan catatan bahawa barang siapa di antara kedua saudara itu diterima korbannya ialah yang berhad menentukan pilihan jodohnya.


Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang ditawarkan oleh ayahnya. Habil keluar dan kembali membawa peliharaannya sedangkan Qabil datang dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil cucuk tanamnya yang rosak dan busuk kemudian diletakkan kedua korban itu kambing Habil dan gandum Qabil di atas sebuah bukit lalu pergilah keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan terjadi atas dua jenis korban itu.


Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga Adam yang menanti dengan hati berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit di mana kedua korban itu diletakkan, terlihat api besar yang turun dari langit menyambar kambing binatang korban Habil yang seketika itu musnah ternakan oleh api sedang karung gandum kepunyaan Qabil tidak tersentuh sedikit pun oleh api dan tetap tinggal utuh.
Maka dengan demikian keluarlah Habil sebagai pemenang dalam pertaruhan itu kerana korban kambing telah diterima oleh Allah sehingga dialah yang mendapat keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua gadis saudaranya itu yang akan dipersandingkan menjadi isterinya.
Dengan telah jatuhnya keputusan dari langit yang menerima korban Habil dan menolak korban Qabil maka musnahlah harapan Qabil untuk mempersandingkan Iqlima tidak puas dengan keputusan itu namun tidak ada jalan untuk menyoalkan. Ia menyerah dan memerainya dengan rasa kesal dan marah sambil menaruh dendam terhadap Habil yang akan dibunuh di kala ketiadaan ayahnya.


Ketika Adam hendak berpergian dan meninggalkan rumah beliau mengamanahkan rumahtangga dan keluarga kepada Qabil. Ia berpesan kepadanya agar menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama ketiadaannya. Ia berpesan pula agar kerukunan keluarga dan ketenangan rumahtangga terpelihara baik-baik jangan sampai terjadi hal-hal yang mengeruhkan suasana atau merosakkan hubungan kekeluargaan yang sudah akrab dan intim.
Qabil menerima pesanan dan amanat ayahnya dengan kesanggupan akan berusaha sekuat tenaga menyelenggarakan amanat ayahnya dengan sebaik-baiknya dan sempurna berpergiannya akan mendapat segala sesuatu dalam keadaan baik dan menyenangkan. Namun dalam hatinya ia berkata bahawa ia telah diberi kesempatan yang baik untuk melaksanakan niat jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan dengkinya terhadap Habil saudaranya.


Tidak lama setelah Adam meninggalkan keluarganya datanglah Qabil menemui Habil di tempat penternakannya. Berkata ia kepada Habil:"Aku datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi ini."
"Apa salahku?"tanya Habil. Dengan asalan apakah engkau hendak membunuhku?"
Qabil berkata:"Ialah kerana korbanmu diterima oleh Allah sedangkan korbanku ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang cantik dan molek itu dan aku harus mengahwini adikmu yang buruk dan tidak mempunyai gaya yang menarik itu."


Habil berkata:"Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima korbanku dan menolak korbanmu?Tidakkah engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami laksanakan?Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nafsu dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak- masak akan akibat perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni.Adakah mungkin sesekali bahawa korban yang engkau serahkan itu engkau pilihkannya dari gandummu yang telah rosak dan busuk dan engkau berikan secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga ditolak oleh Allah, berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban yang sengaja aku pilihkan dari perternakanku yang paling sihat dan kucintai dan ku serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah.


Renungkanlah, wahai saudaraku kata-kataku ini dan buangkanlah niat jahatmu yang telah dibisikkan kepadamu oleh Iblis itu, musuh yang telah menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari syurga dan ketahuilah bahawa jika engkau tetap berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan aku angkat tanganku untuk membalasmu kerana aku takut kepada Allah dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak diredhainya.Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan ditakdirkan bagi diriku."


Nasihat dan kata-kata mutiara Habil itu didengar oleh Qabil namun masuk telinga kanan keluar telinga kiri dan sekali-kali tidak sampai menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki, dendam dan iri hati sehingga tidak ada tempat lagi bagi rasa damai, cinta dan kasih sayang kepada saudara sekandungnya. Qabil yang dikendalikan oleh Iblis tidak diberinya kesempatan untuk menoleh kebelakang mempertimbangkan kembali tindakan jahat yang dirancangkan terhadap saudaranya, bahkan bila api dendam dan dengki didalam dadanya mulai akan padam diapi-apinya kembali oleh Iblis agar tetap menyala-yala dan ketika Qabil bingung tidak tahu bagaimana ia harus membunuh Habil saudaranya, menjelmalah Iblis dengan seekor burung yang dipukul kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh Iblis itu dilakukan atas diri Habil di kala ia tidur dengan nyenyaknya dan jatuhlah Habil sebagai korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan sebagai korban pembunuhan pertama dalam sejarah manusia.


Daripada kisah ini, jelaslah bahawa perasaan hasad dengki dan pentingkan diri sendiri membawa padah dan menghancurkan ukhuwah dan ikatan persaudaraan. Kita adalah kaum muslimin yang memiliki ikatan ukhuwah. Untuk itu, maka kita tidak boleh saling menzalimi antara satu dengan yang lainnya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda iaitu "Janganlah kalian saling mendengki, janganlah saling mencurangi, janganlah saling membenci, janganlah saling membelakangi dan janganlah sebagian kalian menjual atas penjualan sebagian yang lainnya. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara! Seorang muslim adalah bersaudara, janganlah menzaliminya, merendahkannya dan janganlah mengejeknya! Takwa ada di sini -beliau menunjuk ke dadanya tiga kali-. Cukup dikatakan jelek seorang muslim, jika ia menghinakan saudaranya muslim. Setiap muslim atas muslim lainnya haram darahnya, harta dan kehormatannya. (HR. Muslim).


Ukhuwah sesama muslim juga boleh dipeeratkan lagi melalui tanggungjawab sesama muslim. Setiap muslim mempunyai tanggungjawab terhadap saudara semuslimnya. Setiap muslim boleh melaksanakan tanggungjawabnya melalui pertolongan kepada saudara muslim yang berada dalam kesusahan. Perkara ini boleh didapati melalui sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a , sabda Nabi s.a.w "Barangsiapa yang meringankan kesusahan seorang Mukmin di dunia, maka Allah s.w.t. akan meringankan satu kesusahan daripada kesusahannya di Hari Qiyamat".


Kesimpulannya, ukhuwah sesama muslim haruslah sentiasa terjalin supaya umat islam lebih bersatu padu dan mampu mencapai zaman kegemilangannya semula dengan gabungan ukhuwah yang ada. Harapan kita agar keadaan umat islam yang dalam keadaan bersatu padu dapat dilaksanakan dan dikekalkan untuk selamanya demi kepentingan bersama. Oleh itu, ayuhlah saudaraku sekalian, bangkitlah dari tidurmu yang lena, bangunlah dari keadaan yang lemah dan usahalah untuk bersatu dalam ukhuwah untuk membangunkan tamadun islam demi kepentingan agama dan umat islam sendiri.sekian....
  

Ahad, 7 November 2010

BELAJARLAH DARI MUSIBAH

Pada bulan november tahun 2010,
 kita telah dikejutkan dengan 2 musibah iaitu, letusan gunung merapi di Indonesia dan di Malaysia sendiri iaitu banjir di bahagian utara Malaysia iaitu di negeri kedah dan perlis. Kita seharusnya mengambil iktibar dari musibah serta ujian yang diberi oleh Allah ini dengan sabar dan tabah. Belajar dari musibah yang berlaku dengan melakukan amalan yang baik atau soleh semasa hidup di dunia serta melakukan perubahan dari segi fizikal atau dalaman seseorang daripada kurang baik kepada yang lebih baik, daripada baik kepada yang lebih baik serta seterusnya.

Musibah apapun yang menimpa kita umat islam, seharusnya kita ambil iktibar dan mengambil anjakan ke arah kebaikan. Musibah seharusnya dipandang sebagai :
          Yang pertama, kita seharusnya menganggap musibah yang melanda sebagai ujian keimanan dan ketaqwaan daripada Allah. Firman Allah, "dan sungguh, kami benar-benar menguji kamu sehingga kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di anatara kamu, dan kami akan uji perihal kamu.".(surah muhammad : ayat 31).


         Yang kedua, Allah menguji kita dengan pelbagai musibah sebagai upaya meningkatkan darjat keimanan. Semakin tinggi iman seseorang, semakin tinggi pula ujian yang ditimpakan kepadanya. Dalam al-Quran, Hadis dan Sirah Nabawiyah (sejarah nabi) banyak kita temukan kisah musibah yang menimpa para nabi. Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang siapa orang yang paling berat ujian dan cubaannya, baginda menjawab(bersabda) :  “Para nabi. Kemudian orang-orang yang darjatnya dekat dengan para nabi”. (HR. al-Hakim dan al-Thabrani).Dalam hadis lain Rasulullah bersabda, “Tidaklah seorang muslim terkena duri, atau lebih dari itu, kecuali Allah mengangkat baginya satu derajat, dan menghapuskan darinya satu dosa”. (HR. al-Bukhari dan Muslim).


         Yang ketiga, musibah ini sebagai teguran dan peringatan oleh Allah. Dalam sebuah Hadis Rasulullah bersabda, “Tidak ada seorangpun dari kalian melanggar ketentuan (Agama) kemudian disegerakan siksaannya (sebagai hukuman), kecuali siksa itu menjadi kafarah (penebus dosanya). Dan siapa yang siksanya diakhirkan, maka urusannya dikembalikan kepada Allah; Kalau Allah menghendaki, Dia merahmatinya (mengampuni kesalahannya). Dan kalau Dia menghendaki, Dia akan menyiksanya” . (HR. Ibn Hibban).


        Yang keempat, musibah dianggap sebagai azab dan seksaan Allah di dunia. Dalam al-Qur`an Allah menjelaskan bahwa ketika kemaksiatan dan kejahatan bermaharajalela dan tidak ada orang yang mencoba melakukan amar makruf nahi munkar, maka siksa Allah (musibah) akan menimpa mereka secara keseluruhan, “Dan peliharalah dirimu dari siksaan yang tidak hanya menimpa orang-orang zalim saja di antara kalian. Ketahuilah bahwa Allah sangat keras siksa-Nya.” (QS. al-Anfal ayat 25). Dalam sebuah Hadis Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya orang-orang yang melihat orang yang zhalim kemudian mereka tidak mengubahnya, maka hampir-hampir Allah meratakan mereka dengan siksaan dari-Nya”. (HR. Abu Dawud).


        Yang kelima, sebagai tanda bahawa Allah mengkehendaki kebaikan bagi seseorang atau segolongan kaum, kebaikan ini berbentuk pemberian pahala dan penghapusan dosa yang diberikan Allah bagi orang yang bersabar dalam menjalani musibah yang menimpa. Rasulullah bersabda yang bermaksud. "Umatku umat yang dirahmati, di mana tidak ada atas mereka siksaan di akhirat. Siksaan mereka di dunia berupa bencana, gempa dan pembunuhan" (HR. Abu Dawud).

Pelbagai lagi hikmah dan pelajaran yang boleh kita ambil daripada musibah yang melanda selain dari yang disebutkan seperti tanda atau bukti Allah cinta terhadap hamba-hambanya dan sebagainya.

Oleh itu, kita seharusnya mengambil iktibar daripada musibah yang berlaku dan cuba untuk menghadapinya dengan tabah dan sabar. Sebagi umat islam juga, kita seharusnya bersyukur dengan nikmat kurniaan daripada Allah serta melakukan apa sahaja perintahnya dan meninggalkan larangannya.
Semoga dengan musibah yang berlaku, kita dapat mempelajari kelemahan diri dan memperbaikinya, semoga Allah memasukkan kita dalam golongan hamba-hambanya yang sentiasa bertaqwa dan bersabar dalam menghadapi setiap musibah yang berlaku. Amin Ya Rabbal A'lamin. Sekian.