Jumaat, 5 November 2010

INDAHNYA SYURGA DAN GERUNNYA NERAKA

kita seharusnya mempercayai kewujudan perkara-perkara ghaib, salah satunya adalah syurga dan neraka. Mempercayai wujudnya syurga dan neraka iaitu membenarkan dengan pasti akan kewujudan keduanya, serta ia tidak akan musnah atau binasa. Dimasukkan segala nikmat ke dalam syurga dan segala bentuk penyeksaan ke dalam neraka.
Kita wajib mempercayai bahwa Syurga dan Neraka telah tercipta dan keduanya saat ini telah disiapkan oleh Allah s.w.t.. Sebagaimana firman Allah s.w.t. mengenai Syurga maksudnya : “..yang telah disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa” (Surah Ali Imran ayat 133), dan mengenai Neraka maksudnya : “..yang telah disediakan untuk orang-orang yang kafir.” (Surah Ali Imran ayat 131).


Allah s.w.t. telah menggambarkan kenikmatan Syurga melalui berbagai macam cara. Kadangkala Allah s.w.t ingin menguji manusia untuk berfikir melalui firman-Nya dalam hadis qudsi yang bermaksud : “Ku siapkan bagi hamba-hambaKu yang soleh (di dalam Syurga), iaitu apa yang tak pernah dilihat mata, tak pernah didengar telinga, dan tak pernah terlintas dalam hati semua manusia”, kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Bacalah jika kalian mau, ‘Tak seorangpun mengetahui berbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang’ (Surah As-Sajdah : 17)”.


Kenikmatan Syurga juga Allah s.w.t. gambarkan dengan menyebut manusia yang berhasil memasuki Syurga dan selamat dari adzab Neraka, sebagai orang yang beroleh kemenangan yang besar. Sebagaimana Allah s.w.t maksudnya : “Barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah memasukkannya kedalam Syurga yang mengalir didalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar” (Surah An-Nisaa’ ayat 13)


Syurga juga disebut dengan pelbagai nama seperti Al-Jannah, Darus Salam, Darul khuld, Jannatul Na'im dan Al-Firdaus serta pelbagai lagi. Syurga juga memiliki pintu-pintu.  Dalam sebuah hadis dari shahabat Sahl bin Sa’ad radhiyallaahu anhu dari Rasulullah s.a.w. : “Di dalam Syurga terdapat delapan pintu, diantaranya adalah Ar Rayyan. Tidak ada yang memasukinya kecuali orang-orang yang berpuasa”.


Syurga juga mempunyai beberapa tingkatan. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Syurga terdiri atas seratus tingkat, jarak antara dua tingkatnya seperti jarak antara langit dan bumi, Allah menyediakannya untuk orang-orang yang berjihad di jalan-Nya”. Tingkatan yang paling tinggi adalah Firdaus.


Dalam syurga juga mempunyai bangunan-bangunan. Dari Abu Musa Al Asy’ari dari Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : “Sesungguhnya bagi orang-orang Mukmin di dalam Syurga disediakan kemah yang terbuat dari mutiara yang besar dan berlubang, panjangnya 60 batu, di dalamnya tinggal keluarganya, di sekelilingnya tinggal pula orang Mukmin lainnya namun mereka tidak saling melihat satu sama lain.”


Penghuni syurga juga akan disediakan dengan pelbagai jenis makanan. Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Dan buah-buahan dari apa yang mereka pilih, dan daging burung dari apa yang mereka inginkan.” (Surah Al Waqi’ah ayat 20-21).
Dalam syurga juga terdapat minuman untuk penghuni syurga. “Sesungguhnya orang-orang yang berbuat kebajikan minum dari piala (berisi minuman) yang campurannya adalah air kafur, (iaitu) mata air (dalam Syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya” (Surah Al Insan ayat 5-6).


Kita juga harus mempercayai wujudnya neraka. Neraka disediakan oleh Allah untuk orang-orang yang tidak mengikut perintah-Nya serta tidak meninggalkan larangan-Nya, dan mendustakan Rasul-Nya. a. Bagi mereka adzab yang pedih, dan penjara bagi orang-orang yang gemar berbuat kerusakan. Itulah kehinaan dan kerugian yang paling besar.


Allah s.w.t. berfirman maksudnya : “Ya Tuhan kami, sesungguhnya barangsiapa yang Engkau masukkan ke dalam Neraka, maka sungguh telah Engkau hinakan ia, dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolongpun.” (Surah Ali Imran ayat 192).
Demikian pula firman Allah s.w.t maksudnya : “Katakanlah: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari kiamat.” Ingatlah yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.” (Surah Az Zumar : 15).



Neraka merupakan seburuk-buruk tempat kembali. Ini dibuktikan melalui firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.” (Surah Furqan : 66)
Neraka juga memiliki pelbagai nama selain kebiasaannya iaitu An-Naar. Diantaranya adalah Jahannam, Al-Jahim, As-Sa'ir, Saqar, Al-Huthomah, Al-Hawiyah serta lain-lain lagi. Seperti syurga, neraka juga mempunyai pintu-pintu. Pintu yang dimaksud ialah bertingkat ke bawah, hingga ke bawahnya lagi, disediakan sesuai dengan amal keburukan yang telah dikerjakan, sebagaimana ditafsirkan oleh Syaikh As Sa’diy. 
“Jahannam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka.” (Surah Al Hijr ayat 44).


Neraka mempunyai kedalamannya. Dari Abu Hurairah r.a . katanya : “Kami bersama Rasulullah s.a.w. tiba-tiba terdengar suara benda jatuh. Maka Nabi s.a.w. bertanya, ‘Tahukah kalian apakah itu?’ Kami pun menjawab, ‘Allah dan RasulNya lebih mengetahui’. Rasulullah berkata, ‘Itu adalah batu yang dilemparkan ke dalam Neraka sejak tujuh puluh tahun lalu. Batu itu jatuh ke dalam Neraka, hingga baru mencapai dasarnya tadi’.


Neraka juga mempunyai bahan bakarnya iaitu terdiri daripada batu dan manusia. Firman Allah : “Peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir” (Surah Al Baqarah ayat 24).Batu yang dimaksud dalam ayat ini ditafsirkan oleh Ibnu Abbas dan sebagian besar pakar tafsir dengan belerang, kerana sifatnya yang mudah menyala lagi busuk baunya. Sebagian pakar tafsir juga berpendapat bahwa yang dimaksud batu di sini, ialah berhala-berhala yang disembah, sebagaimana Allah berfirman yang maksudnya : “Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah, adalah umpan Jahannam, kamu pasti masuk ke dalamnya.” (Surah Al Anbiya : 98).


Kepanasan api neraka berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W. ialah-Dari Abu Hurairah radhiyallaahu anhu beliau berkata, “Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Api kalian, yang dinyalakan oleh anak Adam, hanyalah satu dari 70 bagian nyala api Jahannam. Para shahabat kemudian mengatakan, ‘Demi Allah! Jika sepanas ini saja niscaya sudah cukup wahai Rasulullah! Rasulullah menjawab, ‘Sesungguhnya masih ada 69 bagian lagi, masing-masingnya semisal dengan nyala api ini’”.


Antara makanan penghuni neraka ialah pohon yang berduri. Firman Allah s.w.t maksudnya : “Mereka tiada memperoleh makanan selain dari pohon yang berduri, yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar”
(Surah Al Ghasiyah : 6-7).
Ibnu Katsir rahimahullah membawakan perkataan Ali bin Abi Thalhah, dari Ibnu Abbas, “Itu adalah pohon dari Neraka”. Said bin Jubair berkata, “Itu adalah Az Zaqum (pepohonan berduri bagi makanan penghuni Neraka)”.



Manakala minuman untuk penghunu neraka pula terdiri daripada air nanah yang amatlah busuk baunya lagi pekat, maka merekapun merasa jijik dan tidak mampu menelannya. Firman Allah s.w.t maksudnya : “Di hadapannya ada Jahannam dan dia akan diberi minuman dengan air nanah, diminumnnya air nanah itu dan hampir dia tidak boleh menelannya” (Surah Ibrahim ayat 16-17).


Selain air nanah, penghuni neraka juga diberi minum air yang mendidih oleh panasnya api Jahannam, yang mampu melelehkan isi perut dan menceraiberaikan kulit mereka yang meminumnya. Sebagaimana Allah s.w.t. berfirman maksudnya : “Dengan air itu dihancur luluhkan segala apa yang ada dalam perut mereka dan juga kulit (mereka)” (Surah Al Hajj ayat 20). Firman Allah s.w.t maksudnya : “Diberi minuman dengan hamiim (air yang mendidih) sehingga memotong ususnya” (Surah Muhammad ayat 47).


(sumber: Buletin Muslim)


Oleh itu, daripada tulisan di atas iaitu tentang indahnya nikmat syurga dan gerunnya azab naraka, dapatlah kita ambil iktibar tentangnya agar dapat meningkatkan ketaqwaan kita terhadap Allah. Kita hendaklah sentiasa berfikir dan mengambil pelajaran merindukan syurga yang InsyaAllah kita akan berusaha untuk mendapatkannya serta mengingati neraka dengan menambahkan ketakutan kita padanya dan kita akan berusaha untuk menjauhkan diri darinya.
Dengan adanya hasil tulisan ini, mampu memberikan kita kesedaran agar dapat kita meningkatkan amal soleh, serta mengikut perintah dan meninggalkan larangan Allah.
.....sekian.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan